PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bahawa lawatan rasminya ke luar negara adalah bagi membawa masuk pelaburan lebih tinggi, seterusnya mengangkat semula ekonomi Malaysia.
Dalam konteks ini, katanya, lawatan rasmi beliau ke luar negara seperti di Jerman baru-baru ini dipenuhi dengan jadual padat dan bukannya bersenang-lenang bercuti ke luar negara dengan menggunakan kemudahan kerajaan.
“Tentunya saya selaku Perdana Menteri, kita dihujan dengan pelbagai (tohmahan), itu salah guna kuasa, guna wang banyak pergi (luar negara), bersenang guna pesawat kerajaan, pergi cuti luar negara dengan seronok.
“Tidak terjawab saya (tohmahan). Tetapi, percayalah sepanjang di Jerman lima hari, kedai pun saya tidak pergi.
“Saya tidak ada kerja lain selain dari hotel ke mesyuarat. Ada waktu ruang saya panggil sarjana Islam seluruh Eropah untuk bincang isu Islamofobia,” katanya ketika berucap dalam perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Anwar berkata, menerusi lawatan rasmi ke luar negara, perbicangan lebih tertumpu kepada soal untuk menarik minat pelabur luar ke Malaysia sekali gus berupaya mengangkat semula ekonomi negara.
“Apabila ke luar negara, kita bincang soal pelaburan, tapi balik Malaysia, ada yang bicara soal bak kut teh, buka kantin sekolah bulan Ramadan, itu lebih hangat diperkatakan seolah-olah itu hidup mati maruah kita.
“Saya harap masyarakat terutamanya penjawat awam bantu keluarga kita dan masa depan kita. Saya yakin kalau kita tegas dan terus begini kita boleh capai lebih baik,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE