LONDON – Seorang lelaki berputih mata apabila melihat kereta Ferrari miliknya remuk dalam satu kemalangan jalan raya di utara London, lapor portal berita MailOnline semalam.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu, kereta Ferrari 296 GTB itu bertembung dengan sebuah kereta Mercedes di sebatang jalan yang mempunyai had laju 32 kilometer sejam.
Beberapa gambar di lokasi kejadian menunjukkan ‘supercar’ dianggarkan berharga £250,000 (RM1.5 juta) tersebut remuk dengan but terbuka dan satu tayarnya tercabut.
Seorang jurucakap Polis Metropolitan London berkata: “Polis menerima panggilan sekitar pukul 1.05 tengah hari (waktu tempatan) pada Jumaat, 15 Mac mengenai kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan St Paul, N1.”
Tambah polis, seorang lelaki dibawa ke hospital, namun kecederaannya tidak mengancam nyawa. – AGENSI