LONDON – Kapten Tottenham Hotspur, Son Heung-min mengakui dia dan rakan sepasukannya wajar untuk kembali melihat ‘cermin’ mengenai prestasi semasa mereka dan matlamat yang ingin dicapai musim ini selepas tewas 0-3 kepada Fulham di Craven Cottage awal pagi semalam.
Keputusan itu memberikan impak besar buat Spurs yang cuba menamatkan musim ini di kelompok empat terbaik bagi mengesahkan tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
“Keputusan ini cukup mengecewakan. Semua orang perlu melihat diri masing-masing di depan cermin dan mengakui kekalahan ini adalah berpunca daripada kesilapan sendiri.
“Apa yang kami tunjukkan nyata belum cukup. Prestasi, sikap kami jelas tidak memadai dan semua orang perlu jadikan ini sebagai titik amaran buat pasukan,” kata Heung-mi yang turut terlepas satu peluang terbaik.
Terdahulu, Rodrigo Muniz muncul pemain tumpuan apabila meledak dua gol buat Fulham diikuti satu lagi jaringan daripada Sasa Lukic.
“Dalam saingan Liga Perdana Inggeris, jika kami tidak bersedia sudah pasti kamu akan dihukum dan tiada istilah tiga mata percuma.
“Kami seperti lebih berjalan ke belakang dan semua ini langsung tidak boleh diterima. Penyokong tidak berhak dengan keputusan ini dan kekalahan nyata cukup pedih untuk diterima,” jelasnya. – AGENSI