PETALING JAYA – Kebanyakan kawasan di Semenanjung serta sebahagian besar daerah negeri Sabah berdepan cuaca panas dengan jangkaan suhu melebihi 35 darjah Celsius sepanjang minggu ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keadaan tersebut turut menyebabkan cuaca di negara ini lebih kering bagi tempoh ramalan tujuh hari ke hadapan.
“Walau bagaimanapun, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku terutamanya di barat Semenanjung dan utara Sarawak pada lewat petang dan awal malam.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya. – KOSMO! ONLINE