PELAKON yang juga adik kepada supermodel terkenal dunia Bella dan Gigi Hadid iaitu Anwar Hadid berkongsi untaian foto dirinya mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah.
Bagaimanapun, perkongsian menginsafkan tersebut mengundang kecaman daripada sebilangan netizen atau peminat yang mengatakan penampilan serta gaya hidup Anwar, 25, tidak langsung melambangkan seorang Muslim.
“Apa? Saya ingatkan Muslim tidak dibenarkan mencacah tatu. Saya ingatkan selama ini dia penganut Kristian,” coret seorang peminat menerusi aplikasi X atau Twitter.
Menerusi foto yang dikongsikan dalam Instagram, Anwar bertemu ketenangan hidup dengan penampilan ihram namun tatu di beberapa bahagian tubuhnya masih kelihatan.
“Umrah bersama saudara-saudara sebenar saya. Taat di bawah naungan Tuhan. Selama-lamanya bersyukur untuk momen-momen indah ini,” tulis Anwar sebagai kapsyen pada foto yang dikongsikan kepada lebih 7 juta pengikut pengikut Instagramnya.
Dalam pada ramai menghakimi, ramai juga yang mendoakan agar bekas kekasih kepada penyanyi pop Dua Lupa itu sentiasa diberikan petunjuk dan jalan lurus menjadi Muslimin sejati.
“Buat mereka yang sewenang-wenangnya menghakimi dia (Anwar), dia di Mekah di bulan Ramadan sementara anda mungkin hanya berada di rumah,” tulis seorang peminat.
Terdahulu, biarpun dilihat hidup dengan budaya Barat yang penuh hedonisme, Anwar sangat lantang mempertahankan nasib orang-orang Palestin yang sehingga kini masih berdepan kesengsaraan di tanah sendiri disebabkan kekejaman Zionis laknatullah. – KOSMO! ONLINE