fbpx

Azeem raih emas, gangsa di Atlanta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM meraih dua pingat pada saingan di Atlanta yang menjadi satu-satunya kejohanan disertai sepanjang Ramadan kali ini.

PEMBURUAN pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula dengan langkah positif selepas meraih satu pingat emas dan satu gangsa pada Kejohanan Olahraga Yellow Jacket Invite di Georgia Tech, Atlanta, Amerika Syarikat semalam.

Azeem yang merupakan penuntut Universiti Auburn, Alabama itu meraih gangsa dalam acara 100 meter (m) menerusi catatan masa 10.38 saat (s) dengan emas menjadi milik Kanyinsola Ajayi (10.21s) manakala Makanakaishe Charamba (10.28s) memenangi perak.

“Bukanlah keputusan yang saya mahukan untuk permulaan musim 100m saya, tetapi Allah ada perancangan yang lebih baik. Bak kata orang, percaya dengan proses,” katanya menerusi status yang dimuat naik di laman X miliknya semalam.

Pingat gangsa yang dimenangi itu kemudiannya diiringi dengan kejayaan meraih emas selepas dia membantu kuartet 4x100m Universiti Auburn yang turut dibarisi Charamba, Ajayi dan Dario Matau melakukan catatan masa 38.74s.

Pingat perak acara tersebut dimenangi kuartet Universiti Olahraga Missouri yang mencatat masa kedua terpantas 40.59s manakala gangsa menjadi miliki Universiti Middle Tennessee dengan catatan 40.71s.

Walaupun catatan 10.38s yang dilakukan Azeem dalam acara 100m masih jauh jika dibandingkan dengan masa 10s yang diperlukan untuk layak ke Olimpik secara merit, namun ia adalah permulaan cukup baik memandangkan saingan kelayakan hanya berakhir Jun depan.

Aksi di Atlanta itu merupakan satu-satunya kejohanan yang disertai Azeem bulan ini kerana mahu menghormati Ramadan sebelum dia meneruskan pemburuan ke Olimpik Paris selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI