SEMENYIH – Hutan seluas 2 hektar yang dilaporkan terbakar di puncak Bukit Broga, di sini, sejak semalam selesai dipadam sepenuhnya, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat insiden itu pada pukul 7.39 malam semalam.
Katanya, seramai 17 pegawai dan anggota bersama tiga jentera keluaran Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Semenyih, BBP Bangi dan BBP Ampang dikerahkan ke lokasi susulan kejadian itu.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran berlaku di puncak Bukit Broga anggaran seluas 2 hektar dan telah merebak menjadi tompok-tompok api akibat tiupan angin di sekitar bukit.
“Untuk makluman, tiada akses kenderaan untuk ke lokasi kebakaran menyebabkan anggota bomba perlu panjat ke puncak untuk menhampiri lokasi kebakaran yang mengambil masa 30 minit ke 45 minit.
“Proses pemadaman dijalankan menggunakan ‘fire beater’ berikutan ketiadaan sumber air,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, Wan Razali berkata, seramai 64 pegawai dan anggota agensi luar turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sri Serdang, PBS Bangi dan Pertubuhan Bantuan Perubatan Kecemasan (TEMS).
Mengulas lanjut, Wan Razali berkata, api berjaya dipadam sepenuhnya hasil usaha 28 anggota dan pegawai yang berada di puncak, sekitar pukul 2.30 pagi tadi.
“Keadaan cuaca dilihat tidak hutan selain keadaan angin turut sederhana dan tiada api yang merebak dikesan,” katanya.
Semalam, media melaporan keadaan cuaca yang panas dan angin yang kencang menyebabkan kebakaran di puncak Bukit Broga, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Mohd Darul Azrin Md Desa berkata, pihaknya telah berusaha untuk mengawal kebakaran dan dalam masa sama memohon bantuan daripada balai bomba berdekatan untuk memadam kebakaran itu.-KOSMO! ONLINE.