LONDON – Arsenal bakal mendapat kelebihan besar dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada 10 April nanti di Emirates dan berpeluang untuk mencari bekalan selesa sebelum berkunjung ke Allianz Arena.
Ia berikutan tidak ada penyokong pasukan lawan dibenarkan memasuki stadium tersebut yang akan menyaksikan The Gunners bakal mendapat sokongan solid daripada peminat pasukan mereka sendiri.
Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah menggantung para peminat Bayern daripada menyaksikan perlawanan di Emirates ekoran perilaku buruk ditunjukkan mereka ketika pasukan itu meraih kemenangan 3-0 ke atas Lazio awal bulan ini.
Para peminat The Bavarian telah membaling suar dan mercun ke dalam padang ketika aksi di laman sendiri menyebabkan mereka berdepan hukuman tersebut selain berdepan denda £34,160 (RM204,000).
Sebelum ini, Bayern telah diberikan amaran ekoran tindakan sama dilakukan peminat mereka ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas FC Copenhagen pada Oktober lalu, namun UEFA bertindak tegas selepas insiden sama berulang.
Perkembangan itu memberi peluang kepada para peminat Arsenal untuk membanjiri dan menguasai keseluruhan Emirates untuk perlawanan berkenaan bagi memberikan sokongan untuk pasukan itu mencari bekalan paling selesa sebelum bertemu pada aksi kedua.
Ia juga menjadi peluang buat Arsenal untuk membalas kekalahan memalukan pada kempen 2016/17 kepada Bayern apabila mereka tewas 1-5 dalam kedua-dua pertemuan di tempat sendiri dan gelanggang lawan. – AGENSI