PONTIAN – Seorang suami yang dilaporkan hilang sejak 19 Februari lalu masih enggan pulang ke rumah biarpun isteri telah memujuknya.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, isterinya, Nor Idahyu Azmin, 27, telah dapat menghubungi suaminya, Mohd. Iswadi Abd. Wahab, 33.
“Polis dimaklumkan isterinya telah berhubung dengan suaminya, namun masih belum dapat memujuknya untuk pulang ke rumah.
“Walaupun suami dan isteri telah dapat berhubung antara satu sama lain, ini tidak bermakna operasi mencari Mohd. Iswadi yang diklasifikasi sebagai Orang Hilang (OH) akan dihentikan.
“Memandangkan laporan OH telah direkodkan dalam komputer, operasi tersebut tidak boleh dihentikan sehingga Mohd. Iswadi dapat ditemui,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, mengikut siasatan polis, lelaki terbabit sering bertukar-tukar lokasi bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.
Kosmo! pada 29 Februari lalu melaporkan rayuan Nor Idahyu supaya suami dapat pulang bagi menyambut Ramadan bersama keluarga dan dua anak perempuan mereka.
Nor Idahyu dilaporkan berkata, mereka berdua tidak mempunyai sebarang masalah atau pun bergaduh sebelum kehilangan suaminya itu.