ALOR SETAR – Pemandu kedua bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 75.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Gurun semalam terkilan kerana gagal menyelamatkan pemandu utama yang juga adik kandungnya sebelum kenderaan itu terbakar.
M. Manivannan, 50, bagaimanapun lega kerana sempat menyelamatkan empat penumpang lain dalam kenderaan itu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Hatyai, Thailand.
Bercerita detik-detik mencemaskan itu, Manivannan berkata, dia yang tidur di bahagian belakang terjaga selepas mendengar bunyi dentuman kuat dan ternampak kepulan asap.
Katanya, dia kemudian berlari untuk menyelamatkan adiknya, M. Jayakumar, 48, tetapi tidak berdaya kerana dia tersepit sebelum berlari ke belakang untuk menyelamatkan penumpang dengan membuka pintu kecemasan.
“Saya menjerit namanya berkali-kali supaya dia sedar, namun hanya terdengar dengusan nafasnya.
“Saya jerit sambil menangis, Jayakumar… Jayakumar… tetapi adik dipercayai dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum bas hangus terbakar,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini semalam.
Menurut Manivannan yang mempunyai pengalaman 20 tahun sebagai pemandu bas, mereka bertolak dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur pada pukul 9.30 malam membawa empat penumpang ke Hatyai.
“Kami berhenti makan kira-kira pukul 2.30 pagi di Butterworth, Pulau Pinang sebelum teruskan perjalanan.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana kemalangan ini berlaku kerana ketika kejadian saya tidur. Ketika makan, adik saya nampak macam biasa saja.
Dia sendiri sudah 10 tahun memandu bas,” katanya.
Tambahnya, mendiang yang meninggalkan seorang balu dan dua anak itu disifatkan sebagai adik yang baik hati dan disukai ramai.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku
kira-kira pukul 5 pagi apabila bas ekspres berkenaan dipercayai melanggar belakang semua treler dari arah sama sebelum terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan sebelah kiri.
“Akibat daripada kemalangan, pemandu bas terperangkap di tempat duduk pemandu kemudian turut terbakar bersama bas dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu kedua bersama penumpang lain sempat keluar dari bas dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat dibawa ke unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat. Empat penumpang bas yang berusia 67 hingga 20 tahun termasuk pemandu kedua bas mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Pendang untuk rawatan,” katanya.