fbpx

Rumah terbakar, ibu hamil tujuh bulan tinggal sehelai sepinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Rohaya (kanan) bersama suaminya melihat sisa kebakaran selepas rumah mereka di Kampung Tok Rusa, Meranti dekat Pasir Mas terbakar, semalam. Foto ROHANA ISMAIL

PASIR MAS – Sembilan sekeluarga termasuk seorang ibu hamil tujuh bulan terpaksa menempuh Ramadan penuh hiba apabila kelengkapan bayi dan pakaian sekolah empat anak hangus selepas rumah mereka di Kampung Tok Rusa, Meranti di sini terbakar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, rumah yang menjadi tempat berteduh kepada Siti Rohaya Abdullah, 35, bersama suami, Ropee Yusof, 42, dan tujuh anak mereka hangus dijilat api.

Siti Rohaya berkata, dia berbelanja hampir RM1,000 membeli kelengkapan persekolahan anak dan barangan bayi anak ke lapannya yang bakal lahir tidak lama lagi.

Menurutnya, semasa kejadian, dia berada di dapur dan sedang memasak nasi goreng untuk anak bongsunya yang berusia tiga tahun.

“Saya melihat api melalui celah pintu bilik anak sebelum terus bergegas untuk memeriksa keadaan di situ. Saya tergamam apabila melihat api sudah marak di dalam bilik.

“Melihat keadaan itu, saya yang menggigil ketakutan terus meminta bantuan anak sulung berusia 18 tahun yang berada di luar rumah untuk memadamkan kebakaran dengan menyiram air,” katanya ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Siti Rohaya memberitahu, api terus marak sebelum dia terus mendukung anaknya dan keluar dari rumah selepas mendapati kebakaran itu tidak dapat dipadamkan.

Menurutnya, dua buah kereta termasuk milik pelanggan suaminya yang ditinggalkan di untuk kerja mengecat turut musnah.

“Suami saya tiada di rumah kerana keluar bekerja sebagai tukang rumah. Suami juga melakukan kerja-kerja mengecat kereta sebagai pendapatan sampingan. Kereta jenis Nissan Sentra milik pelanggan juga habis terbakar.

“Kebakaran ini merupakan ujian besar buat kami sekeluarga semasa menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi. Kami sekeluarga akan menumpang di rumah ibu saya buat sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd. Azmi Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.05 tengah hari sebelum 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Pasir Mas dan Rantau Panjang bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, api berjaya dikawal kira-kira pukul 1.40 petang, namun rumah mangsa terbakar 100 peratus dan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI