BANGKOK – Seorang pemandu teksi di Bangkok memulangkan beg tangan mengandungi wang tunai sebanyak AS$3,310 (RM15,563) dan dua pasport Myanmar yang ditemui di dalam kenderaannya, lapor laman berita The Pattaya News hari ini.
Apabila pemandu tersebut, Songchai Chaiiam, 51, menemui beg tangan itu, dia bimbang sekiranya pemiliknya tidak mempunyai wang mencukupi untuk tinggal di Thailand.
Songchai kemudian menyerahkan beg tangan itu kepada pihak pengurusan stesen radio FM91 Trafficpro, yang merupakan bahagian komunikasi polis Bangkok untuk mencari pemiliknya dengan segera.
“Wang sukar untuk diperoleh. Setiap pemandu teksi harus jujur jika mereka mendapati terdapat harta penumpang yang tertinggal (di dalam teksi),” katanya.
Pemilik beg tangan itu, Khin Aye Kyaing berkata, dia pada mulanya berasa bimbang selepas beg tangannya hilang kerana ia mengandungi sejumlah wang bagi rawatan perubatan.
Bagaimanapun, dia berasa bersyukur selepas mendapat semula wang itu, demikian menurut FM91 Trafficpro. – AGENSI