GURUN – Seorang pemandu bas maut manakala dua penumpang cedera ringan apabila bas ekspres dinaiki terbakar selepas terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 75.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini awal pagi ini.
Empat lagi mangsa membabitkan pembantu pemandu bersama dua penumpang serta pemandu treler berusia lingkungan 19 hingga 50 tahun dilaporkan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 4.02 pagi tadi.
Katanya, sebanyak dua buah jentera FRT, dua jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) serta
18 anggota BBP Guar Chempedak, BBP Amanjaya dan BBP Pendang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bas berkenaan terbakar dipercayai akibat kemalangan berkenaan serta terdapat seorang mangsa berusia lingkungan 42 tahun di bahagian pemandu tersepit dan rentung,” jelasnya.
“Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dan wanita berusia 29 tahun cedera ringan. Operasi terkawal pada 4.37 pagi manakala tindakan pemadaman lanjut dan pengurusan mangsa di tempat kejadian masih dilakukan. – KOSMO! ONLINE