GUA MUSANG – Seorang pekerja ladang warga Thailand maut digilis sebuah traktor semasa sedang memunggah buah kelapa sawit di Jalan Ladang Felda Aring 5, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, mangsa, Puruekan Kachi, 36, meninggal dunia selepas dipercayai digilis tayar depan kenderaan tersebut yang diletakkan di tepi jalan berbukit.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, traktor itu dipercayai bergerak ke depan kerana brek tangan kenderaan tersebut tidak ditarik sempurna.
“Mangsa masih sedarkan diri semasa berada di lokasi kejadian dan dibawa ke pejabat ladang berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mangsa jelasnya, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.50 petang di pejabat tersebut sebelum dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE