KOTA MARUDU – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu terbabas dan jatuh ke dalam gaung setinggi enam meter di Jalan Kampung Paliusumbu, petang semalam.
Mangsa berusia 33 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital pada pukul 3.50 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan jalan raya di jalan berkenaan membabitkan kenderaan Mitsubishi Pajero daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Siasatan mendapati kemalangan terbabit berlaku kira-kira pukul 2 petang sewaktu mangsa yang memandu kenderaan dalam perjalanan dari arah Kampung Paliusumbu menghala ke Kampung Marak Parak.
“Bagaimanapun, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebaik tiba di lokasi di satu selekoh jalan tidak berturap dan menuruni bukit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zairolnizal berkata, mangsa kemudiannya dibawa naik pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan pada pukul 3.50 petang. – KOSMO! ONLINE