PETALING JAYA – Pelakon jelita, Anna Jobling akan berehat daripada menjalani penggambaran sepanjang Ramadan kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga.
Anna atau nama lengkapnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abd. Rahman ketika ditemui berkata, keputusan itu dibuat memandangkan sudah dua tahun berturut-turut dia bekerja ketika menyambut Ramadan sehingga tiada masa untuk berbuka bersama keluarganya.
“Ramadan tahun ini saya akan berehat daripada berlakon. Memang saya sengaja untuk tidak ambil apa-apa tawaran berlakon kerana mahu berehat selain meluangkan masa bersama keluarga.
“Sudah dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2022 dan 2023 saya bekerja ketika bulan puasa. Memang langsung tak sempat untuk berbuka bersama keluarga.
“Jadi tahun ini, saya akan pastikan ada masa untuk tolong ibu memasak dan berbuka bersama-sama di rumah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ujar Anna lagi, dia ada menerima beberapa tawaran berlakon namun nekad menolaknya secara baik.
“Memang ada beberapa tawaran diberikan kepada saya, namun saya menolaknya kerana mahu bersama keluarga.
“Walaupun bukan saya yang memasak, saya akan turun juga ke dapur untuk membantu ibu,” ujarnya.
Tambah pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu, dia akan kembali bekerja selepas Aidilfitri nanti dan ke Jakarta, Indonesia untuk menjalani penggambaran sebuah filem di sana.
“Insya-Allah, selepas raya nanti saya akan ke Jakarta kerana terlibat dengan penggambaran untuk sebuah filem di sana.
“Buat masa ini, saya tidak boleh kongsikan butiran lanjut tentang filem tersebut dan akan memberitahunya nanti.
“Memandangkan saya kini kerap juga berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia, saya merancang untuk ambil kelas peribadi belajar bahasa Indonesia,” katanya. – KOSMO! ONLINE