PETALING JAYA – Pelakon jelita Amelia Christie berkongsi rasa teruja apabila menerima hadiah berupa jambangan bunga mawar daripada individu tidak dikenali.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Amelia dalam InstaStory miliknya, pelakon berusia 24 tahun itu terkejut, namun pada masa sama teruja apabila jambangan bunga mawar itu diberikan seorang wanita.
“OMG (oh my god), siapa yang bagi? Terima kasih banyak-banyak,” ujar Amelia dalam nada teruja.
Berdasarkan video yang dikongsikan, difahamkan Amelia menerima hadiah istimewa itu ketika menginap di hotel selepas menghadiri sebuah acara pada malam tadi.
Ketika menerima jambangan bunga tersebut, Amelia bertanyakan kepada wanita yang membawakan hadiah itu siapa pengirim jambangan terbabit.
“Awak tahu siapa yang beri?” soal Amelia.
Bagaimanapun, wanita yang dipercayai pekerja di hotel tersebut tidak tahu butiran individu yang telah menghantar jambangan bunga itu untuk Amelia.
Menurut wanita tersebut, dia tidak tahu gerangan individu terabit kerana menggunakan gelaran secret admirer (peminat misteri).
Berdasarkan keterangan kad yang ada pada bunga tersebut, tertera nama Amelia yang disifatkan si pengirim sebagai wanita paling jelita.
“Kepada Amelia Christie. Wanita paling jelita. Daripada peminat misteri,” tulis butiran pada kad tersebut.
Baru-baru ini, Amelia mengesahkan dirinya kini berstatus solo, sekali gus menamatkan teka teki bahawa hubungan cintanya dengan Sharnaaz Ahmad sememangnya sudah berakhir.
Ujar Amelia, dia tidak mempunyai masalah untuk menjawab pertanyaan netizen mengenai status hati memandangkan dirinya sudah sendiri.
Hubungan Amelia dengan Sharnaaz didakwa putus di tengah jalan apabila mereka tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing.
Menerusi temu bual HibGlam bersama Sharnaaz sebelum ini, aktor itu memilih untuk tidak memberikan sebarang komen, sebaliknya memberitahu hubungan mereka dalam keadaan baik selain ingin fokus terhadap karier dan anak lelaki tunggalnya, Jebat Jayden. – KOSMO! ONLINE