BEAUFORT – Selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Khamis lalu, seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia dalam hutan di Kampung Binunuk pada petang semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Kamariah Sungkim, 74, ditemukan pada pukul 2.52 petang kira-kira 1.7 kilometer (km) dari bahagian belakang rumahnya sehari selepas mangsa hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 10 pagi semalam daripada polis.
“Operasi dijalankan bersama Polis Di Raja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dengan dibantu oleh penduduk kampung lain di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini. – KOSMO! ONLINE