AMPANG JAYA – Berang dilemparkan kata-kata kesat oleh salah seorang mangsa, pembantu kedai lelaki bertindak memukul tiga beranak menggunakan sebatang besi di sebuah perhentian bas Jalan Kosas 1/5 Taman Kosas, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pengadu, 27, adik perempuan, 24, dan ibunya, 50, didatangi suspek bersenjatakan sebatang besi kira-kira pukul 2.30 petang.
“Suspek bertindak memukul tiga beranak dari Indonesia itu sehingga menyebabkan kecederaan di kepala, muka, tangan dan beberapa bahagian lain.
“Susulan laporan itu, kita menahan suspek yang juga warga Indonesia berusia 39 tahun pada pukul 3.45 petang hari sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, motif kejadian adalah berpunca perselisihan faham di tempat kerja di antara suspek dan pengadu yang juga bekerja sebagai pembantu kedai.
“Suspek direman empat hari bermula 14 Mac hingga 17 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.