HONG KONG – Baru-baru ini, rakaman menunjukkan sebuah motosikal dinaiki tiga pelajar sekolah tersangkut atas bumbung sebuah rumah di Indonesia menjadi tular dalam kalangan netizen.
Insiden serupa berlaku di China melibatkan sebuah Honda CR-V yang ‘terbang’ dan tersangkut pada bumbung kediaman penduduk, lapor portal DetikNews semalam.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu terbabas ketika membelok ke kanan lalu menghempap bumbung sebuah rumah.
Kejadian di kawasan berbukit di Bandar Taizhou itu menyebabkan bumbung rumah berkenaan rosak dan jubin bertaburan di atas tanah.
“Kelajuan pada masa kejadian adalah 70 kilometer sejam. Tiba-tiba sebuah kenderaan roda tiga muncul dan saya cuba untuk mengelak. Namun, saya tersilap menekan pedal minyak,” kata pemandu SUV kepada polis.
Bagaimanapun, penghuni rumah dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. SUV tersebut kemudian dialihkan dengan menggunakan kren. – AGENSI