fbpx

Saya sendiri tidak boleh terima jual stoking begitu, Pengasas KK Mart mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chai (dua dari kiri) ketika sidang akhbar mengenai isu stoking tertera kalimah Allah di Menara KK di Bandar Tasik Selatan.

KUALA LUMPUR – Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr. KK Chai melahirkan rasa kesal atas penjualan stoking tertera kalimah Allah di salah sebuah cawangannya yang tular baru-baru ini.

Beliau berkata, kesilapan seumpama itu tidak pernah berlaku sepanjang tempoh 23 tahun perniagaan tersebut diusahakan.

“Saya sendiri tidak boleh terima penjualan stoking terdapat kalimah Allah apatah lagi mahu mencetak produk berkenaan. Sebagai Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, saya begitu menyesal dan memohon maaf atas perkara yang berlaku beberapa hari lalu.

“Saya ambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada netizen yang menularkan perkara itu supaya kami dapat mengambil tindakan secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar di Menara KK, Bandar Tasik Selatan, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan penyanyi rap sensasi, Caprice.

Selain itu Chai berkata, sebagai ahli perniagaan di negara yang berbilang kaum dan agama, beliau sudah cukup arif mengenai sensitiviti masyarakat.

“Sebaik isu ini tular di media sosial pada 13 Mac lalu, kami ambil langkah segera dengan memohon maaf di platform media sosial selepas dua jam mengetahui perkara berkenaan.

“Kita tidak mahu hanya memberikan alasan tetapi juga mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku termasuk segera tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi mengenai perkara ini pada Khamis lalu kerana mahu terangkan insiden ini dan memberi kerjasama kepada pihak polis,” ujarnya.

Susulan itu katanya, KK Mart juga ada menghantar surat penerangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar serta pihak agama lain berhubung isu tersebut.

“Dalam tempoh tiga hari ini, saya tidur kurang 10 jam. Saya betul-betul marah dengan pembekal dan mempertikaikan macam mana perkara ini boleh berlaku.

“Namun, saya tidak mahu memberi alasan dan mengakui kami perlu bertanggungjawab dengan apa yang terjadi,” katanya.

Mengulas mengenai keberadaan stoking berkenaan di KK Mart, beliau berkata, produk itu disediakan oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit.

“Pembekal ini diberi tempat dalam kedai serbaneka kami untuk menjual produk yang prosesnya dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan tanpa pemantauan daripada pekerja kami.

“Di sini kelompongan sistem kami yang menyerahkan sepenuhnya kepada pembekal dan selepas ini kami akan baik pulih prosedur operasi standard (SOP) berkenaan,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan di kesemua 800 cawangan KK Mart di seluruh negara mendapati hanya tiga premis yang terdapat stoking terbabit.

“Kita kesan 14 pasang stoking ada kalimah Allah di tiga cawangan KK Mart termasuk di Bandar Sunway yang tular di media sosial, baru-baru ini.

“Nasib baik stoking berkenaan tiada yang terjual,” katanya.

Beliau yang dilihat menangis dan gagal menahan sebak merayu kepada orang ramai supaya tidak memboikot KK Mart disebabkan isu terbabit.

“Saya harap boikot terhadap KK Mart boleh dihentikan. Saya sedia untuk berjumpa semua pihak bagi menjelaskan perkara ini termasuk Ketua Pemuda UMNO (Dr Akmal Saleh) yang ada membuat kenyataan sebelum ini.

“Kita bertanggungjawap sepenuhnya dalam hal ini dan kita juga minta maaf secara terbuka kepada masyarat terutama yang beragama. Kita tahu betapa marahnya orang ramai terhadap KK Mart. Perkara ini bukan disengajakan kerana tidak mungkin kita ambil langkah yang akan merugikan seperti ini,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial apabila pelanggan menemui stoking dengan kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI