SEREMBAN – Peniaga di bazar Ramadan dinasihatkan tidak sambil lewa dalam menyediakan juadah makanan jualan mereka selain memastikan ia berada dalam keadaan baik.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, setiap jualan peniaga itu seharusnya membawa kebaikan tidak hanya di dunia dan di akhirat malah setiap urusan jual beli juga perlu dibina atas dasar keberkatan serta keredaan.
Jika ia berlaku beliau berkata, rasa tidak puas hati termasuk kepada pembeli, ia jauh daripada konsep sebenar dalam Islam.
“Sedap atau tak ini subjektif. Tidak dinafikan ada orang suka masam, manis atau tawar sikit tetapi masalah basi, tidak masak dan buat lebih kurang ini patut dihindarkan. Ada satu hadis Rasulullah, Allah sangat suka kalau peniaga menjual dalam keadaan penuh toleransi dan kasih sayang, sama juga membeli,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai anjuran Gyro Gastro Sdn. Bhd. yang turut meraikan 80 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah semalam.
Dengan memetik surah al-Mutaffifin ayat satu hingga lima yang bermaksud urusan jual beli perlulah dilakukan secara jujur, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, ayat itu mengajar supaya berbuat baik kepada orang lain.
“Ayat ini mahu beritahu kepada kita bahawa mereka (orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan) dalam bab jual beli, mereka buat lebih kurang, ambil barangan timbangan tak cukup.
“Adakah mereka ini tidak sangka akan dibangkitkan pada hari akhirat kelak (hidup semula sesudah mati)? Jadi ayat seperti ini mengajar, bila kita tolenrasi kepada orang, kita buat baiklah. Tak rugi berbuat baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE