MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menangkap lima individu kerana tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai sepanjang tempoh empat hari umat Islam menjalani ibadah puasa setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua mereka ditahan di beberapa restoran yang menjadi lokasi panas tumpuan kaki ponteng puasa.
Menurutnya, penguatkuasaan yang dijalankan sejak hari pertama Ramadan dibuat berdasarkan intipan dan aduan yang diterima, manakala mereka yang ditahan perlu datang ke JAIM untuk menjalani sesi kaunseling.
“Operasi Ramadan ini akan dilaksanakan secara berterusan di seluruh daerah di negeri ini dan bukan sahaja tertumpu di Bandaraya Melaka sahaja,” ujarnya kepada pemberita selepas operasi dijalankan di Ayer Keroh di sini hari ini.
Dalam empat lokasi ‘hot spot’ yang diserbu penguat kuasa JAIM, hanya seorang lelaki ditahan di sebuah restoran mamak susulan dapati membeli dua bungkus minuman dan makanan di Ayer Keroh, di sini.
Rahmad berkata, amaran telah diberikan kepada semua pemilik premis berkenaan agar tidak menjual makanan atau membenarkan pelanggan beragama Islam makan di premis mereka secara terbuka. – KOSMO! ONLINE