fbpx

‘Kebun dah musnah, harap kami dapat pampasan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peneroka di RKT Kesedar Meranto, Gua Musang berharap mendapat pampasan setimpal selepas ancaman harimau di kawasan pekebun mereka.

GUA MUSANG – Pekebun berharap pemberian peruntukan RM10 juta sebagai pampasan kepada penduduk yang sering mengalami kerugian disebabkan serangan haiwan liar di daerah ini dapat diagihkan secara setimpal kepada mereka.

Mereka mendakwa terpaksa menanggung kerugian besar mencecah ratusan ribu ringgit apabila tanaman seperti pisang, kelapa sawit dan getah yang diusahakan sering dirosakkan gajah liar sejak lima tahun lalu.

Seorang pekebun di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kese­dar Sungai Terah di sini, Zahari Daud, 54, berkata, mereka bersyukur apabila rintihan pekebun selama ini akhirnya didengari apabila Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah diluluskan peruntukan pampasan itu.

Katanya, sudah lama pekebun menanggung kerugian sendiri tanpa mendapat bantuan sewajarnya ketika di­serang gajah liar.

“Kami sebagai pekebun kecil yang mengusahakan tanaman seperti kelapa sawit, pisang dan getah berharap bantuan yang di­luluskan itu dapat sampai kepada pekebun yang memerlukan.

“Serangan haiwan liar secara berterusan menyebabkan pekebun mengalami gangguan termasuklah modal untuk bangkit kembali semula mengusahakan tanaman,” katanya.

Seorang lagi pekebun di RKT Kesedar Meranto, Kamarudin Yaakub, 65, yang terjejas punca pendapatan dengan serangan harimau belang juga berharap mendapat bantuan atau pampasan yang sama.

Katanya, masalah harimau masih memberi ancaman kepada peneroka di kawasan itu dan berharap bantuan dapat diberikan kepada mereka yang ketakutan untuk ke kebun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim berkata, hasil pertemuan beliau bersama menteri tiga hari lalu membawa khabar gembira kepada pekebun dan penternak yang sering berhadapan serangan haiwan liar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan RM10 juta kepada semua penduduk yang mengalami kerugian fizikal, harta benda dan sebagainya disebabkan ancaman gajah liar dan harimau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI