SETIU – Seorang pengurus syarikat cemas selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah, Porsche Cayenne dipandunya merempuh seekor gajah di Kilometer 45, Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja berhampiran Kampung Kolam di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 10.15 malam itu, bahagian hadapan kenderaan dipandu Sharul Azma Che Samaon,42, remuk teruk manakala gajah itu pula mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, mangsa dikatakan dalam pulang ke Lembah Bidong dari Rhu Sepuluh, di sini.
“Kenderaan dipandu mangsa gagal mengelak gajah yang tiba-tiba melintas jalan itu menyebabkan ia terbaring di tengah jalan seketika dan kemudiannya kembali ke hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
“Gerakan mengesan gajah yang cedera tersebut sedang giat dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu,” katanya. – KOSMO! ONLINE