fbpx

Doa isteri makbul, jasad suami ‘pulang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Anis bersama suaminya yang maut selepas bot dinaiki karam di Sungai Batang Baleh, Kapit.

KAPIT – “Pada hari kesembilan ini (semalam), tiada doa lain yang aku ingin kirimkan, hanya doa untuk mu kembali ke pangkuanku walaupun tubuhmu telah terbujur kaku. Semoga Allah makbulkan doa isterimu untuk hari ini agar dapat bertemu denganmu.”

Demikian doa penuh pengharapan yang dititipkan Anis Nur Ezzati, isteri kepada anggota polis Konstabel Iskandar Ibrahim, 28, yang merupakan satu-satunya mangsa bot ka­ram di Sungai Batang Baleh, di sini yang masih belum ditemui.

Wanita tersebut memuat naik luahan hati serta harapannya di Facebook kira-kira pukul 9 pagi semalam agar jasad suami kesayangan itu ditemui segera.

Sejurus selepas hantaran tersebut dimuat naik, suara hati wanita itu bagaikan dimakbulkan-Nya apabila jasad anggota polis itu ditemui kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Mayat mangsa dijumpai terapung oleh orang awam di kawasan Seputin, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian bot karam.

“Suamiku belum puas sebenarnya aku menjalankan tanggungjawab sebagai isterimu, masa yang berlalu terlalu singkat, tidak pernah terjangka tragedi ini akan berlaku dalam kehidupan kita ketika sama-sama di puncak kebahagiaan.

“Tapi dengan kuasa Allah, benar aku sudah reda dengan segalanya, Allah sangat sayang kepada kita berdua sehingga diberi ujian yang terlalu besar ini,” luahannya.

Dalam pada itu, Anis Nur Ezzati turut meluahkan rasa terima kasih buat suaminya kerana telah menjadi suami terbaik dan dia ikhlas dan reda dengan kehilangan ini.

“Tenanglah kamu di sana s­yurgaku, sampai masa aku juga akan menyusul, syurgalah tempatmu aku reda dan ikhlas dengan pemergianmu,” ujarnya.

DOA penuh pengharapan yang dimuat naik Anis Nur Ezzati di Facebook kira-kira dua jam sebelum penemuan jasad suaminya.

Terdahulu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke lokasi yang dilaporkan selepas menerima panggilan dan mendapati terdapat mayat terapung di sungai.

“Hasil pengecaman pada pakaian yang dipakai mangsa, didapati mangsa tersebut adalah mangsa terakhir insiden bot ­karam,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata operasi SAR yang memasuki hari kesembilan semalam diteruskan pada pukul 8 pagi melibatkan pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Pejabat Residen termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran Kapit.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang pada 7 Mac lalu, sebuah bot yang dinaiki lima individu karam di Sungai Batang Baleh berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan Lepong Baleh di sini.

Seorang mangsa berjaya di­selamatkan orang awam, manakala empat lagi termasuk dua anggota polis dilaporkan hilang.

Ketika kejadian, dua anggota polis tersebut iaitu Sarjan Jonathan Lambet dan Konstabel Iskandar Ibrahim dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, Kapit kerana mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram.

Pada 9 Mac lalu, mayat pertama, Jack Balan ditemui terapung di Pulau Kerto, Sibu pada pukul 10 pagi sebelum mayat kedua, Jonathan ditemui kira-kira lima kilometer dari lokasi bot karam pada pukul 4.02 petang.

Mangsa ketiga, Amerson John Nain pula ditemui lemas di Sungai Batang Lebaan, Sibu pada 10 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI