KUALA LUMPUR – Polis merakam keterangan lima individu susulan kehilangan kanak-kanak, Siti Dhia Batrisyia Mohd. Chairil Anuar, 12, yang tidak pulang ke rumahnya sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, lima individu tersebut terdiri daripada ahli keluarga serta rakan kanak-kanak tersebut.
“Lima (orang) sudah dirakam keterangan melibatkan ahli keluarga dan rakan. Bagaimanapun, setakat ini belum ada perkembangan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan ibu mangsa, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, memaklumkan kali terakhir dia bersama anaknya adalah di rumah mereka di Pudu, di sini, kira-kira pukul 4 petang, Selasa lalu.
Katanya, perselisihan faham antara dua beranak itu dipercayai punca anaknya bertindak keluar rumah dan tidak pulang sehingga hari ini.
Syarifah memaklumkan, dia berasa tidak senang hati kerana anaknya masih belum pulang selepas waktu berbuka puasa.
Lebih merisaukan, ada rakan Dhia mendakwa kanak-kanak itu mengikut seorang lelaki tidak dikenali didakwa dikenali melalui media sosial. – KOSMO! ONLINE.