fbpx

Cinta lokasi cetus perang mental – Shah Iskandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelakon Shah Iskandar menyifatkan cubaan menjiwai watak hingga berbalas mesej atau berjumpa di luar waktu bekerja antara pembuka ruang kepada 'cinta lokasi' yang mencetuskan perang mental.

KUALA LUMPUR – Pelakon Shah Iskandar menyifatkan cubaan menjiwai watak hingga berbalas mesej atau berjumpa di luar waktu bekerja antara pembuka ruang kepada ‘cinta lokasi’ yang mencetuskan perang mental.

Kata pemilik nama sebenar Shah Iskandar Mahfuz, 42, tindakan tersebut tidak mendatangkan masalah kepada pelakon bujang, namun bagi yang sudah berstatus suami atau isteri boleh merisikokan perkahwinan mereka.

“Isu berkaitan cinta lokasi ini sememangnya dah wujud lama sejak dulu lagi, kadang-kadang hero atau heroin sesebuah drama terbawa-bawa dengan karakter sampai jadi terlampau rapat.

“Bukan tak boleh berkawan, terlalu menjiwai watak sehingga saling bermesej antara satu sama lain hakikatnya tidak manis untuk keharmonian perkahwinan.

“Bujang tiada masalah, tetapi kalau dah kahwin lepas itu bermesej pula dengan hero atau heroin, itu kurang sihat serta ganggu emosi dan mental,” katanya ketika ditemui pada pelancaran koleksi raya Qierahman di Akarr Cafe, Solaris Dutamas, baru-baru ini.

Begitupun, akui pelakon asal Singapura itu, ada segelintir pelakon menganggap cinta lokasi hanya sebagai fasa sementara iaitu demi mewujudkan keserasian regu lakonan.

“Sebenarnya hal akrab sampai ke luar set ini dikatakan ada kebaikan di mana pelakon dapat jadi serasi sekali gus mampu menonjolkan lakonan ‘hidup’ sebaik di depan kamera.

“Tapi apa pun semuanya bergantung kepada pelakon berstatus suami atau isteri itu sendiri sama ada mahu berbuat demikian atau hentikan tindakan berkenaan.

“Bagi saya, kalau anda boleh hadap pening kepala dan kecaman orang, teruskan, tapi kalau takut merisikokan masa depan elakkan,” ujarnya.

Pernah melalui pengalaman terjebak cinta lokasi ketika zaman bujang, Shah bagaimanapun tidak menyokong kecenderungan keintiman artis yang sudah berkahwin atas apa pun alasan sekali pun.

“Macam saya katakan, solo sama solo tak mengapa, tapi yang sudah berkeluarga kena fikir perasaan anak isteri, tanggapan pelakon lain serta kru iaitu orang yang kita hadap setiap hari di set,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shah teruja untuk masuk ke set penggambaran drama arahan sutradara tersohor, Datuk Yusof Haslam menerusi sebuah naskhah berkisarkan kehidupan pasukan beruniform.

Sekian lama tidak menjadi hero, dia kembali mendapat kepercayaan Skop yang juga syarikat produksi pertama memperkenalkan namanya dalam arena seni negara ini.

“Sebenarnya Datuk Yusof yang bawa saya ke Kuala Lumpur Untuk membintangi dramanya ketika awal pembabitan saya di sini.

Ibaratnya kali ini saya mengimbas memori lalu,” katanya yang sudah 18 tahun mencari makan sebagai pelakom di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI