fbpx

All England: Aaron-Wooi Yik selangkah ke pentas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (kanan) dan Wooi Yik menjadi satu-satunya wakil negara yang akan beraksi di separuh akhir pada kejohanan All England kali ini.

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton All England selepas melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham sebentar tadi, bekas juara dunia itu mendominasi sepenuhnya permainan sebelum menewaskan pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-14, 21-11.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik semakin hampir untuk mengulangi pencapaian 2019 di mana mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir sebelum tewas kepada beregu legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Aksi ditampilkan beregu No.5 dunia itu nyata tidak dapat ditandingi Fikri-Maulana apabila hanya memerlukan masa 31 minit untuk melengkapkan kemenangan bergaya, seterusnya mara ke pusingan empat terbaik.

Justeru, mereka menjadi satu-satunya harapan rakyat Malaysia untuk mendakap kejuaraan pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu selepas beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia terkandas pada perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Keputusan itu juga memastikan Aaron-Wooi Yik terus mengekalkan rekod bersih ke atas beregu No.9 dunia berkenaan apabila mencatat kemenangan dalam kesemua lima pertemuan setakat ini.

Menanti pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu di separuh akhir nanti adalah beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan yang menewaskan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand 21-13, 21-17. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI