SUBANG JAYA – Seorang wanita warga emas maut dalam kejadian kebakaran rumah di Jalan USJ 4/4C, USJ 4, di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 1.15 pagi tadi.
Jelas beliau, sebanyak lima jentera serta beberapa anggota dan pegawai keluaran Balai Bomba dan Penyelemat (BBP) Subang dan BBP Puchong digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati dua buah rumah jenis teres terbakar sekitar 60 peratus termasuk sebuah kenderaan.
“Api berjaya dikawal pada pukul 1.40 pagi oleh pihak bomba.
“Susulan itu, terdapat seorang mangsa, wanita tempatan berusia lingkungan 70-an berjaya dibawa keluar oleh pihak bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mukhlis, operasi menyelamat seterusnya berjaya membawa keluar seorang lagi lelaki tempatan berusia 70-an.
“Mangsa didapati hanya mengalami sesak nafas ekoran insiden itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE