ROM – Seorang wanita berusia 103 tahun ditangkap polis kerana memandu kereta dalam keadaan bahaya, manakala lesennya tamat tempoh dalam kejadian di bandar Bondeno, Itali, lapor portal berita Wion News hari ini.
Polis menerima aduan orang ramai kira-kira pukul 1 pagi (waktu tempatan) untuk memberitahu bahawa sebuah kereta dipandu secara berbahaya oleh seorang individu, baru-baru ini.
Anggota polis yang menahan kenderaan terkejut melihat pemandunya ialah seorang wanita berusia 103 tahun, Giuseppina Molinari.
Lesen Molinari tamat tempoh dua tahun lalu dan dia memandu kereta tersebut untuk menemui rakannya.
Selepas wanita itu ditangkap, polis mendendanya dan membawanya pulang.
“Selepas ini saya akan membeli sebuah Vespa,” kata Molinari ketika bercakap kepada akhbar tempatan, La Nuova Ferrara. – AGENSI