PETALING JAYA – Usaha murni seorang aktivis jalanan yang mesra disapa Abbe Hae dipuji ramai apabila beliau menyediakan makanan berbuka puasa kepada golongan asnaf dan gelandangan di sekitar Jalan Chowkit, Kuala Lumpur pada 1 Ramadan lalu.
Menerusi perkongsian video siaran langsung Abbe Hae di TikTok @abbehae2, beliau yang merupakan aktivis bagi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sudah dua tahun menganjurkan program ini dengan tujuan membantu golongan gelandangan mendapatkan makanan berbuka.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! mendapati rata rata pengguna berterima kasih dan memuji tindakan murninya itu yang turut menyediakan tempat solat bersama seorang imam kepada mereka yang berbuka puasa.
“Bukan setakat makanan lahiriah, makanan rohaniah juga disediakan,” komen JukieJeli.
“Setiap titik peluh yang mengalir akan menjadi asbab ke syurga,” komen Syahira.
Namun ada juga yang bersimpati setelah melihat majoriti mereka yang hadir terdiri daripada ibu tunggal, kanak – kanak, dan warga emas serta kecewa kerana masih ramai warga miskin kota yang wujud disebalik bangunan-bangunan tersergam indah.
“Macam tak percaya, keadaan macam ini masih ada kat Malaysia.
“Golongan gelandangan di negara kita masih ramai, itu tak terkira lagi yang tinggal dibawah jambatan,” ujar Wan Zul.
Selain menyantuni golongan fakir jalanan di ibu kota, aktivis berkenaan juga dilihat aktif membantu golongan fakir miskin desa. – KOSMO! ONLINE
@abbehae2 Menjamu dan berbuka puasa di jalanan.. Alhamdulillah mereka ini masih dapat makan sedap-sedap berbanding dengan fakir di kampung-kampung yang amat tenat kemiskinannya dan terpaksa bercatu untuk makanan.. #abbehae #jejakjalanan #jagahakAllah ♬ Victory (剪辑版1) – 刘佳兴