fbpx

Tidak pernah terlintas Jho Low seleweng duit 1MDB – Jasmine Loo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jasmine Loo.

KUALA LUMPUR – Tidak pernah terlintas di benak fikiran bekas peguam dan Pengarah Eksekutif Strategi Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low adalah seorang penipu dan menyeleweng wang syarikat berkenaan.

Ini kerana, jelas saksi pendakwaan ke-50 itu, pada ketika dia mula mengenali Jho Low atau nama penuhnya, Low Taek Jho, lelaki berkenaan sudah memiliki pendapatan mencecah jutaan ringgit.

Sehubungan itu, itu wanita terbabit tidak pernah mempersoalkan tindakan Jho Low `menumpang’ wang sejumlah AS$9 juta di dalam dua akaun Bank Swiss miliknya di antara 2012 dan 2013.

“Saya tidak pernah fikir yang dia (Jho Low) melakukan (menyeleweng) sedemikian kerana ketika saya mengenalinya, dia sudah memperolehi (pendapatan) jutaan ringgit. Semuanya kelihatan sempurna tetapi rupanya tidak. Saya percaya apa yang saya percaya (ketika itu),”katanya.

Pada prosiding terdahulu, Jasmine memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia mula mengenali Jho Low apabila menghadiri sesi temuduga di UBG Berhad iaitu syarikat milik Jho Low.

Wanita itu kemudian diterima bekerja dengan syarikat terbabit dengan gaji RM45,000 sebulan yang turut merangkumi elaun kenderaan, elaun minyak dan elaun perjalanan bermula 1 Januari 2009 sehingga April 2011.

Pada satu ketika, perbicaraan bertukar panas apabila peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mula mempertikaikan keperibadian Jho Low.

Muhammad Shafee: Jho Low adalah seorang penipu, penipu paling besar di antara semua penipu dan awak tak kisah untuk menerima arahan daripada orang sebegitu?
Jasmine: Mungkin tetapi saya sendiri tidak pasti sama ada apa yang dikatakannya (Jho Low) adalah benar atau tidak.

Muhammad Shafee: Ada atau tidak; berdasarkan perbicaraan ini, yang menunjukkan Jho Low adalah sebaliknya (orang baik)?
Jasmine: Mungkin tidak ada tetapi kita tidak boleh pukul rata sebegitu.

Muhammad Shafee: Kenapa tidak boleh? Anak guam saya telah `dipukul rata’ dan kebebasannya terancam. (Kebebasan) Jho Low tidak. Dia mungkin sedang (bercuti) di mana-mana pantai sekarang ini.

Peguam terbabit turut mempersoalkan tindakan Jasmine yang didakwa tidak mengetahui mengenai penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB sedangkan wanita itu bekerja dengan syarikat terbabit pada ketika itu.

“Saya tidak terlibat dengan (bahagian) kewangan. Saya tidak dapat melihat (transaksi yang berlaku). Pada pandangan saya, kesemuanya adalah transaksi yang betul,” ujar Jasmine.

Pada ketika ini, Muhammad menempelak Jasmine dengan menyatakan:”Sekiranya awak yang merupakan orang dalam 1MDB tidak nampak apa yang berlaku, anak guam saya yang merupakan orang luar, buta!”

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Seqerah bersambung 1 April ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI