KUALA LUMPUR – Pemikir dan sarjana Islam Eropah di Berlin, Jerman mengusulkan Malaysia mengambil inisiatif merangka strategi berkesan menentang kemaraan Islamofobia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usul tersebut disampaikan kepada beliau dalam satu pertemuan sempena lawatan rasminya ke negara tersebut.
“Kami juga membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani permasalahan tersebut terutamanya di barat.
“Rakan-rakan sarjana turut mengusulkan Malaysia mengambil inisiatif merangka strategi berkesan menentang kemaraan budaya ini.
“Insya-Allah, saya bersama rakan-rakan akan terus menjadi penggerak utama bagi membasmi isu Islamofobia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar memaklumkan, kelapangan yang beliau ada di Berlin digunakan untuk berdiskusi dan bertukar pandangan bersama rakan-rakan pemikir dan sarjana Islam Eropah terbabit.
Menurut beliau, antara yang terlibat adalah International Institute of Islamic Thought (IIIT), Arab World Institute dan Middle East and Mediterranean Research Centre (CERMOM).
“Kami menyentuh beberapa perkara antaranya peranan sarjana dan cabaran baru dengan semaraknya Islamofobia di Eropah saat ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE