fbpx

Rebah ketika solat tarawih, Mel kini stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEl bersama anak lelakinya, Ewal.

PETALING JAYA – Bekas vokalis kumpulan Wings, Mel atau Ismail Zainuddin yang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas rebah ketika solat tarawih malam tadi sudah dibenarkan pulang ke rumah.

Berita itu dikongsikan anaknya, Ewal Ismail yang menyatakan ayahnya dalam keadaan stabil, namun perlu kembali ke hospital bagi menjalani ujian stress senaman untuk memeriksa tahap keupayaan jantung.

“Alhamdulillah, keadaan ayah nampak semakin baik dan sekitar pukul 8 pagi tadi telah dibenarkan keluar wad pemantauan selepas pemeriksaan pakar.

“Doktor maklumkan tiada apa-apa yang membimbangkan, cuma mungkin dia terlampau letih atau salah makan sehingga mengakibatkannya kurang sihat dan rebah tiba-tiba.

“Malam tadi ayah terus dibawa ambulans terus ke zon kuning HKL dan diberikan rawatan segera tambahan pula dia pernah mempunyai sejarah serangan angin ahmar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Menurut vokalis kumpulan Kristal itu, sebelum ini ayahnya mendapat serangan angin ahmar sekitar 10 tahun lalu.

Katanya, selepas melalui proses pemulihan serta rawatan konsisten, tahap kesihatan bapanya semakin bagus, bahkan masih boleh memenuhi tawaran persembahan serta mengadakan tazkirah.

“Kalau tengok keadaan ayah sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini memang orang tak sangka dia pernah kena strok, kami sekeluarga pun tengok ayah cergas saja.

“Mungkin sebab kuat semangat, ambil ubat ikut jadual serta aktif membuatkan dia dapat kekalkan kesihatan. Cuma agak lama juga dia tidak ke hospital untuk pemeriksaan.

“Harapnya tiada masalah serius pada sesi pemeriksaan susulan dan ujian stres 21 Mac nanti. Beberapa hari lagi dia kena pergi ke Hospital Putrajaya pula untuk ambil ubat,” ujarnya.

Sebagai anak, pemilik nama lengkap Ikhwan Hafiz Ismail, 31, mengakui terkejut dimaklumkan ayahnya rebah di Surau Al-Jannah Pinggiran Bukit Jalil, malam tadi.

“Ketika kejadian ayah pergi ke surau berhampiran rumah ditemani ibu tiri saya, sebelum itu ada mengadu pening saja. Jadi saya memang terkejut dapat berita itu.

“Terima kasih kepada semua jemaah yang membantu sampai ayah dapat dibawa ke hospital dan diberi rawatan segera,” katanya.

Difahamkan Mel, Zainuddin, 58, yang turut dilantik sebagai pengerusi surau sejak tujuh tahun lalu rebah ketika sedang rukuk.

Terdahulu bersama Wings, Mel sempat menghasilkan sebuah album iaitu Orang Asing pada tahun 1995 yang memuatkan lagu popular Semalam Yang Hangat dan Lena Diulit Intan.

Penyanyi itu kemudian bergerak solo dan tampil dengan dua album, Mencari Enigma Lagu (1996) serta Sukma ’98 (1998) sebelum mengundurkan diri bagi memberi fokus kepada bidang keagamaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI