PUTRAJAYA – Program Residensi Rakyat (PRR) diharap dapat mengubah stigma Program Perumahan Rakyat (PPR) yang sebelum ini dicop sebagai kediaman miskin.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, buat masa ini, model PRR itu masih di peringkat cadangan dan perbincangan pihaknya.
Beliau berkata, secara dasarnya, beliau mahu PRR itu menjadi kediaman berdaya huni, selamat dan selesa bagi golongan B40.
“PRR adalah susulan kepada facelift model daripada PPR sebelum ini dimana kerajaan memberi subsidi kepada B40 untuk memiliki kediaman itu.
“Mengikut kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dahulu, 12.4 peratus penduduk di PPR ada kecenderungan untuk bunuh diri.
“Ini adalah satu yang tragis bagi saya, oleh kerana itu apabila kita laksanakan PRR maka, saya yakin penduduk yang duduk di sana bukan sahaja tidak ada stigma miskin tapi lebih bermaruah, berasa selesa, selamat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan tahun 2024, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE