PETALING JAYA – Tindakan sebuah syarikat tidak meletakkan logo halal ke atas bungkusan minyak masak yang tular sebelum ini adalah disebabkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sudah tamat tempoh.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dalam kenyataan hari ini berkata, satu pemeriksaan fizikal dilakukan pada Isnin lalu selepas tular video memaparkan minyak bersubsidi itu tertera perkataan ‘non-halal’ (tidak halal).
Ujarnya, pemeriksaan di premis yang terletak di sekitar Balakong, Selangor itu mendapati ia merupakan syarikat pembungkus minyak masak 1 kilogram (kg) serta beroperasi sebagai tempat penyimpanan bekalan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan minyak masak mendapati tiada logo halal dan penandaan halal digunakan.
“Semakan juga mendapati tiada tulisan ‘non-halal’ ditemui di mana-mana peket minyak masak yang siap dibungkus.
“Justeru, kegiatan syarikat pembungkus atau premis tersebut meletakkan logo halal yang telah tamat tempoh telah diambil tindakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya.
Jelasnya, tindakan diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana menggunakan logo halal Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa sebelum ini.
Bagaimanapun, menurut KPDN, hasil pemeriksaan mendapati minyak masak diperolehi daripada pengilang adalah sah dan berlesen.
“KPDN Selangor ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan ke Whatsapp 019-848 8000, Aplikasi Ez Adu KPDN, hotline KPDN 1-800-886-800 atau Portal e-aduan KPDN,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video di media sosial gambar minyak masak bersubsidi daripada syarikat tersebut dengan tulisan ‘non-halal’ yang didakwa minyak masak babi.
Ganbar yang tular itu sekali gus menimbulkan keraguan dan kekecohan dalam kalangan masyarakat yang membeli minyak bersubsidi itu untuk kegunaan harian. – KOSMO! ONLINE