PETALING JAYA – Kilang terbaharu dan termoden milik Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) di Enstek, Negeri Sembilan bakal memiliki sebuah pusat pameran lengkap dan unik untuk membolehkan pengunjung melihat lebih dekat tentang pengoperasian dan cara pemprosesan susu segar daripada lembu hingga menjadi produk yang boleh dijual di pasaran.
Turut disediakan di pusat pameran yang dikenali sebagai Dutch Lady Experience Centre (DLX) itu adalah sudut berkaitan halal yang memberi pendedahan kepada umum tentang kilang, produk dan rantaiannya yang memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan juga kini daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik berkata, pihaknya juga mahu membangunkan Halal Experience Centre di situ kerana perjalanan syarikat dalam memenuhi pematuhan sijil halal telah dimulakan sejak awal iaitu pada tahun 1963, malah ia adalah salah sebuah entiti yang terawal mendapatkan logo halal daripada pihak berkuasa.
“Pusat pameran ini akan menjadi bahan rujukan bagi orang ramai, agensi kerajaan, pemegang taruh, pelabur dan juga pelajar yang mana ia juga dapat memberi peluang kepada kami meningkatkan pengetahuan mereka tentang peranan halal dalam operasi pemprosesan susu tersebut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Kilang DLMI yang bernilai RM540 juta itu bakal beroperasi pada suku keempat tahun ini yang mana proses pemindahan mesin dari kilang sedia ada di sini dan pembelian serta pemasangan mesin baharu sedang berjalan lancar, manakala DLX serta pejabat pula dibuka pada pertengahan tahun ini.
“Kami teruja dan bangga dapat mengetengahkan pusat pameran ini kepada umum dan kumpulan kami bekerja keras untuk projek ini,” jelasnya.
Tambah beliau, kilang tersebut turut dilengkapi dengan teknologi IR 4.0 yang membolehkan syarikat membangunkan produk berkualiti, selain dapat menambah kapasiti pengeluaran berganda bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan seberang laut.
Syarikat juga melihat potensi pengembangan eksport yang sebelum ini hanya tertumpu di pasaran domestik, Brunei dan Singapura akan diperluaskan ke pasaran baharu pada masa depan.
Ramjeet memberitahu, syarikat begitu komited terhadap usahanya dalam mengekalkan pengeluaran produk berkualiti melalui pematuhan halal yang mana ia dapat mengukuhkan keyakinan pelanggan.
“Amalan halal dalam operasi adalah perkara yang sangat utama bagi kami kerana kami adalah sebuah syarikat global.
“Ia juga baik untuk keselamatan makanan dan polisi yang kami terapkan dalam keseluruhan sistem.
“Kami mahu memberi jaminan kepada pelanggan bahawa produk kami adalah berkualiti dan mampu memenuhi kehendak pelanggan termasuk mereka yang bukan beragama Islam.
“Standard halal Malaysia adalah yang terbaik di seluruh dunia dan industri ini terus berkembang.
“Kami sangat bangga menjadi sebuah syarikat berstatus halal yang memberi jaminan kepada pengguna bukan sahaja di negara ini tetapi juga di peringkat antarabangsa,” terangnya. -KOSMO! ONLINE