BANGKOK – Seekor kerbau albino di wilayah Phetchaburi, tengah Thailand dijual pada harga 18 juta baht (RM2.3 juta), lapor portal berita Thaiger semalam.
Kerbau gergasi milik pengusaha penternakan, Damrongsak Morakot yang diberi nama Ko Muang Phet itu memiliki ketinggian 180 sentimeter (5 kaki, 9 inci).
Ia dibeli oleh pihak pengurusan Ladang Ternak Wanasuwan di Chiang Rai pada Festival Kerbau Uthai Thani ke-12, lapor akhbar The Nation.
Haiwan besar dan berwajah cantik itu turut mencuri perhatian kerana ‘membintangi’ drama popular, Mon Rak Luk Thung sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai ikon di sebalik kandang.
Memiliki kecantikan luar biasa dan badan yang sangat besar, Ko Muang Phet bukan sekadar haiwan ternakan, ia juga dianggap sebagai keajaiban genetik.
Kerbau itu mempunyai 90 peratus peluang untuk mewariskan ciri albinonya yang jarang ditemui di Thailand. – AGENSI