PETALING JAYA – “Ada hari akan rasa sedih dan ada hari gembira, jangan berputus asa. Apabila hidup sukar, ingatlah tiada yang kekal”.
Itu perkongsian ibu kepada pelakon dan penyanyi sensasi Aliff Aziz iaitu Siti Hafiza Basharahil yang menitipkan kata nasihat berkaitan dugaan kehidupan.
Menurut wanita tiga anak itu, setiap ujian yang singgah pasti ada hikmah tersembunyi.
“Anda telah melalui hari-hari yang baik sebelum ini dan akan merasainya lagi dengan ihsan-Nya,” tulisnya dalam Instagram Story.
Pada hantaran lain, Hafiza yang menguruskan kerjaya seni Aliff di Singapura turut percaya kuasa doa dalam mencari ketenangan.
“Berhenti berasa bimbang. Mula berdoa, anda akan merasai nikmat kedamaian. Berceritalah kepada-Nya, lebih baik berbanding berkongsi dengan manusia demi mendapatkan validiti insan lain.
“Berterima kasihlah kepada Allah untuk segala-galanya. Sedikit demi sedikit mulakan hubungan dengan Allah,” katanya lagi.
Tengah malam tadi, Aliff dan heroin drama Terjerat, Ruhainies yang ditangkap berkhalwat di kondominium wanita terbabit mengeluarkan kenyataan seperti dijanjikan.
Menerusi Instagram masing-masing, mereka menjelaskan kejadian sebenar di sebalik tangkapan dilakukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Aliff mahupun pelakon Hero Mr Perfect itu menafikan wujudnya hubungan istimewa, bahkan suami kepada Bella Astillah itu mendakwa masuk ke kediaman Ruhainies bagi menunggu adik-beradik temannya itu untuk makan malam bersama.
Pada Isnin lalu, Bella pula memfailkan permohonan cerai namun sebutan dua hari selepas itu ditangguhkan apabila aktor terbabit tidak hadir kerana terikat dengan penggambaran. – KOSMO! ONLINE