fbpx

Jangan ada pilih kasih dalam pemilikan rumah – Sultan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan sumbangan kepada 150 penerima dari Mukim Penjom di Lipis malam tadi.

LIPIS – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar pemilikan rumah menerusi pelbagai projek perumahan di negeri ini perlu mengutamakan rakyat Pahang termasuk anak jati dari daerah Lipis.

Titah baginda, usaha itu bagi memberi ruang dan peluang kepada anak jati tempatan untuk memiliki kediaman sendiri tanpa ada sikap pilih kasih.

“Lebih menarik perhatian saya ialah pelbagai usaha dilakukan untuk membina projek perumahan seperti PR1MA, Rumah Makmur dan sebagainya.

“Saya dimaklum di Lipis sekitar 1,600 pelbagai bentuk rumah dan saya juga telah nyatakan agar diutamakan anak jati Pahang dan Lipis yang perlu didahulukan.

“Jangan ada pilih kasih dan saya harap perkara ini dapat di ambil peluang untuk orang Lipis memiliki rumah sendiri,”titah baginda ketika berkenan mencemar duli pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Binjai di sini malam tadi.

Berangkat bersama, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 150 penerima dari Mukim Penjom dan berkesempatan menunaikan solat berjemaah bersama rakyat.

Pada kunjungan ke Kampung Binjai di sini hari ini, Al-Sultan Abdullah turut berkongsi pengalaman serta menzahirkan rasa bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki semula ke kampung berkenaan.

“Kali terakhir saya melawat di sini suasana berlainan sedikit, penuh dengan air banjir. Saya terpaksa menyeberang naik bot, seberang sana ke seberang sini dan terpaksa menumpang seorang anak muda menaiki motosikal.

“Terima kasih kepada saudara Man dan itu adalah salah satu kenangan manis. Saya juga telah meninjau sampai ke atas dan saya menyinggah ke satu kampung ada sikit tanaman jagung iaitu jagung Binjai yang ‘famous’.

“Saya percaya kawasan ini nampak begitu strategik. Saya ada rasa aura, kalau kita tengok sungai, pokok, bukit, ini semua anugerah Allah, satu warisan khazanah kita yang patut kita pelihara,”titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI