fbpx

Harimau Malaya buru tonik terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON mengharapkan barisan pemain memanfaatkan peluang bertemu Nepal bagi mencari motivasi terbaik sebelum berlepas ke Oman pada Ahad ini. – FAM

SEKALIPUN jurang ranking lebih berpihak kepada Malaysia, namun perlawanan persahabatan menentang Nepal hari ini dilihat sebagai fasa kelahiran semula Harimau Malaya yang kini terdesak untuk mengembalikan momentum terbaik.

Perlawanan secara tertutup itu bakal memberi sedikit ruang buat pengendali negara, Kim Pan-gon untuk membuat penilaian sebelum mengalih­kan fokus penuh kepada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Oman pada 21 Mac ini.

Walaupun keputusan bukan menjadi objektif utama, kemenangan ke atas Nepal akan memberikan kelegaan buat Pan-gon untuk melepaskan tekanan dihadapi anak-anak buahnya melunaskan harapan penyokong.

“Perlawanan ini (menentang Nepal) juga sebagian daripada persiapan. Kami cuba yakinkan pemain jika mara ke kelompok 18 terbaik, ia akan jadi aksi berbeza. Sebagai pemain, itulah detik hebat buat mereka.

“Hanya itu yang kami boleh motivasikan pemain, tetapi secara mentalitinya, jiwa juga kena ada. Kami perlukan satu lagi motivasi,” katanya.

Berdasarkan ranking, Harimau Malaya yang berada di kedudukan 132 dunia jelas lebih baik berbanding Nepal hanya menghuni tangga ke-175.

Bagaimanapun, Pan-gon me­ngakui, berdepan kesukaran untuk menyiapkan skuad lebih baik memandangkan majoriti pemain dipanggil tiada perlawanan kompetitif sejak dua bulan lalu.

Sejak mengikat Korea Selatan 3-3 di pentas Piala Asia 25 Januari lalu, pemain negara tidak memiliki sebarang aksi kompetitif kerana saingan Liga Malaysia (Lia M) hanya akan ­bermula Mei ini.

“Aksi kelayakan lebih penting daripada Piala Asia dan kali ini kami sudah pun bermula dengan baik apabila mencatat dua kemenangan. Dua aksi seterusnya pastinya akan memberi cabaran baharu kepada kami kerana Oman adalah pilihan utama daripada kumpulan ini.

“Jika kami tidak mampu atasi dua perlawanan ini, kami tidak berhak untuk menjadi 18 pasukan terbaik,” jelas Pan-gon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI