LONDON – Pemandu muda Britain, Oliver Bearman yang membuat penampilan sulung bersama Ferrari di Grand Prix (GP) Arab Saudi pada Ahad lalu berhasrat menyertai pasukan Formula Satu (F1) pada tahun depan.
Pelumba berusia 18 tahun itu menampilkan aksi memukau apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan lebih menarik di hadapan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dari Mercedes.
Bearman turun sebagai pelumba gantian untuk menggantikan tempat Carlos Sainz selepas pelumba Sepanyol itu disahkan mengalami apendiks.
Bagi merealisasikan impian tersebut, Bearman tekad untuk melakukan yang terbaik pada perlumbaan Formula 2 (F2) agar dia mampu memahat namanya dalam kancah F1 tidak lama lagi.
“Itu adalah impian zaman kanak-kanak dan saya ingin realisasikannya. Saya perlu terus bekerja keras dan berusaha dalam perlumbaan F2 agar mampu mendapatkan tempat di F1 nanti. Itulah matlamat utama saya untuk tahun ini.
“saya perlu meneruskan kerja yang terbaik dan tidak membiarkan perkara lain mengganggu saya. Dapat bersaing dalam perlumbaan F1 sebenar adalah satu pengalaman luar biasa dan saya ingin ke sana,” katanya.
Bearman merupakan pemandu akademi Ferrari sejak 2021 dan berhasrat untuk menjadi pemandu pasukan tersebut di F1, tetapi peluangnya tipis selepas Hamilton sah menyertai pasukan Itali tersebut musim depan.
“Selepas berakhir perlumbaan di Jeddah, mereka (Ferrari) semua mengucapkan tahniah kepada saya dan satu perkara luar biasa jika saya dapat berlumba di sini sepenuh masa suatu hari nanti,” katanya. – AGENSI