fbpx

Tiga remaja dipaksa kerja 13 jam sehari, dipantau CCTV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi di Telok Panglima Garang, semalam.

KUALA LANGAT – Derita tiga remaja yang bukan sahaja menjadi buruh paksa malah pergerakan dipantau rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berakhir selepas diselamatkan polis dalam serbuan di Telok Panglima Garang, semalam.

Ketiga remaja berusia 17 tahun itu diselamatkan dalam serbuan Op Pintas bermula pukul 12.45 di dua buah kilang kitar semula barangan elektronik.

Operasi dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat turut menahan 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 18 hingga 63 tahun

Turut ditahan adalah tiga warga China termasuk penyelia dan pengurus kilang berusia 29 dan 52 tahun.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan awal mendapati dua remaja Myanmar telah dipaksa bekerja 13 jam selama enam hari seminggu.

Katanya, mereka hanya dibayar gaji antara RM1,200 hingga RM1,300 bagi tempoh kerja itu.

“Pergerakan dua remaja itu juga sentiasa dikawal CCTV dan serta tidak dibenarkan keluar daripada kilang itu.

“Hasil siasatan juga mendapati kilang tersebut juga beroperasi tanpa lesen sah selama lebih setahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, seorang lagi remaja warga asing diselamatkan di kilang berhampiran kilang pertama.

Ujar Soffian, semasa serbuan dilakukan didapati semua pekerja sedang melakukan kerja-kerja perleraian bahan elektronik di bahagian dalam dan luar permis.

“Secara keseluruhannya, PATI yang ditangkap melibatkan 75 warga Myanmar dan Bangladesh (12) dan tiga warga Kemboja.

“Kesemua tangkapan dan mangsa telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI