JAKARTA – Seorang remaja di Purbalingga, wilayah Jawa Tengah mati akibat disambar petir ketika menggunakan telefon bimbit di dalam rumah, lapor laman berita Detik.
Mangsa, RNH, 14, ditemui dalam keadaan tidak bergerak oleh ibunya dengan kedudukan telefon bimbit berada di atas kepalanya.
“Mangsa dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia,” kata ketua polis setempat, Mubarok.
Hasil pemeriksaan mendapati adanya kesan melecur pada leher mangsa sepanjang kira-kira 10 sentimeter, selain lebam di kaki dan tangan.
Kesan tersebut dipercayai akibat aliran elektrik ketika mangsa disambar petir.
“Hasil pemeriksaan doktor mendapati punca kematian mangsa adalah disambar petir. Tiada tanda-tanda kekerasan ditemui pada badannya,” tambah Mubarok. – AGENSI