fbpx

K2

Puasa ganti dalam bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUASA Ramadan tidak boleh dilakukan serentak dengan puasa-puasa lain. – Gambar hiasan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan puasa ganti. Bolehkah saya menggantikan puasa wajib pada bulan Ramadan? Mohon pencerahan Datuk Mufti.

Jawapan: Hukum mengerjakan puasa ganti pada bulan Ramadan adalah haram, malah ibadah puasa yang dikerjakan adalah tidak sah.

Hal ini kerana, Ramadan hanya dikhususkan untuk puasa Ramadan.

Allah SWT berfirman: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, 185)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadan atas sebab dibenarkan syarak ataupun secara sengaja, maka dia wajib menggantikannya pada hari lain selain Ramadan.

Berkenaan perbuatan menggantikan puasa wajib pada bulan Ramadan, Imam al-Nawawi menyebut: “Haram hukumnya bagi seseorang itu mengerjakan puasa, selain daripada Ramadan pada bulan Ramadan, sama ada dalam keadaan dia bermukim atau musafir.

Sekiranya dia berniat puasa selain Ramadan ketika itu, maka tidak sah puasa Ramadannya kerana dia tidak meniatkannya.

Begitu juga tidak sah puasa yang diniatkan ketika itu sama ada puasa ganti, nazar atau puasa sunat lain.

Hal ini adalah kerana waktu tersebut telah dikhususkan untuk puasa Ramadan dan bukan untuk selainnya, maka tidak sah puasa selain Ramadan pada bulan itu.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili turut menyebut perkara sama, beliau berkata bahawa tidak sah puasa yang diniatkannya sama ada puasa ganti, nazar, kaffarah ataupun sunat.

Hal ini kerana bulan Ramadan berhak dan dikhususkan hanya untuk puasa Ramadan sahaja, maka dia tidak menerima puasa selainnya. Oleh yang demikian, puasa selain Ramadan pada bulan Ramadan adalah tidak sah.

Kesimpulannya, mengerjakan puasa ganti pada bulan Ramadan adalah haram hukumnya, malah ibadah puasa yang dikerjakan adalah tidak sah.

Hal ini kerana, Ramadan hanya dikhususkan untuk puasa Ramadan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI