KUANTAN – Seorang pegawai Imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM600 dua tahun lalu.
Tertuduh, Rohaizi Ismail, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd Sabri Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Rohaizi sebagai penjawat awam iaitu Pegawai Imigresen Gred KP26 di Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pahang telah menerima untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang berjumlah RM600 daripada seorang individu yang diketahuinya mempunyai hubungan dengan tugas rasminya ketika itu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 15 Mei 2022 dan 30 Julai 2022 dengan penerimaan wang masing-masing bernilai RM300 di Maybank Islamic Berhad, Wisma KCCCI, Lot 46 dan 47, Jalan Bukit Ubi, di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan ke atas tertuduh dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Rifah Izzati turut memohon syarat tambahan daripada mahkamah supaya tertuduh melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM selain, menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta agar wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh masih menanggung seorang isteri dan tiga anak.
Selain itu, tertuduh yang memaklumkan dia yang telah berkhidmat di jabatan imigresen selama 28 tahun turut menanggung seorang ibu yang sedang sakit.
Hakim menetapkan wang jaminan RM5,000 dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Mahkamah turut menetapkan 24 April sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen serta lantikan peguam. -KOSMO! ONLINE.