PETALING JAYA – Akibat menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dengan bersaing sesama sendiri dan melakukan aksi ‘superman’, tiga remaja wanita ditahan polis, Rabu lalu.
Ketiga-tiga mereka yang berusia 16 hingga 18 tahun itu dipercayai dari kumpulan dikenali ‘Awek Melaka’ itu dicekup sepasukan Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman di sekitar Melaka Tengah.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ketiga-tiga remaja tersebut memandu secara berbahaya di Lebuh Raya Utara-Selatan ketika dalam perjalanan pulang berkonvoi selepas menjamu selera di Serdang, Selangor.
Jelas beliau, tangkapan dibuat dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerusi operasi bermula pukul 11 malam.
“Polis turut menyita tiga motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang digunakan ketika melakukan aksi berbahaya itu.
“Siasatan awal kejadian (aksi) yang dilakukan remaja itu berlaku pada Ahad lalu kira-kira jam 5.30 petang,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, tular di aplikasi X beberapa siri video yang dimuat naik memaparkan sekumpulan remaja wanita melakukan aksi ‘superman’ di tengah-tengah lebuh raya tanpa memikirkan keselamatan masing-masing.
Video tular yang berdurasi 45 saat tersebut turut memperlihatkan lagak berani sekumpulan minah rempit memotong sebuah lori sambil melakukan aksi demikian.
Mengulas lanjut, Azman berkata, kesemua penunggang motosikal itu menetap di Melaka dan ketika kejadian dalam perjalanan pulang berkonvoi.
Katanya, mereka menjadikan lebuh raya sebagai tempat untuk melakukan aksi merbahaya kerana terpengaruh antara satu sama lain.
“Polis turut mengeluarkan tujuh saman atas pelbagai kesalahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“JSPT mengingatkan penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan lalu lintas kerana pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana individu terlibat dalam samseng jalanan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.