PETALING JAYA – Tidak ditujukan kepada mana-mana pihak, pelakon Zahirah Macwilson berpendapat wanita yang memecahbelahkan sesebuah keluarga adalah satu perbuatan tidak bermoral.
Menurut Zahirah atau nama penuhnya Zahirah atau Nor Zahirah Macwilson Zainol, 29, merosakkan perkahwinan orang lain tidak seharusnya dinormalisasikan oleh kaum H awa di negara ini.
“Saya faham perasaan untuk isteri yang terpaksa melalui situasi kehancuran rumah tangga.
“Wanita perlu menghormati wanita lain dan berhenti menormalisasi kelakuan tidak sopan tersebut,” katanya menerusi satu hantaran InstaStory.
Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza itu juga berkata, sikap tidak bermoral tersebut juga sepatutnya dijauhkan daripada kanak-kanak.
“Lebih-lebih lagi apabila terdapat kanak-kanak yang terlibat.
“Memecahbelahkan sebuah keluarga adalah sifat tidak bermoral,” ujarnya.
Meskipun tidak menyatakan mana-mana nama, rata-rata berpendapat, kenyataan tersebut mempunyai kaitan dengan kemelut rumah tangga pasangan selebriti Bella Astillah dan Aliff Aziz.
“Setuju, wanita yang bermoral takkan akan hancurkan runah tangga wanita lain.
“Dalam kes macam ini, anak-anak paling terkesan. Kasihan,” komen netizen. – KOSMO! ONLINE