KUALA LUMPUR – Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Media Mulia bersama Agrobank mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada orang ramai di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di sini hari ini.
Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar berkata, program agihan bubur lambuk ini adalah anjuran kali kedua pihaknya menyantuni komuniti setempat dengan berkongsi rezeki juadah berbuka.
Beliau juga berharap agar aktiviti tahunan ini dapat terus dikembangkan setiap tahun meliputi ke seluruh negara.
“Semoga akan datang kita dapat membantu masyarakat mengimarahkan bulan Ramadan.
“Kita dah tahun kedua (program agihan bubur lambuk), saya berharap kita dapat kembangkan aktiviti ini bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara,” katanya pada program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Media Mulia bersama Agro Bank, di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya amat terbuka dalam menjalinkan kerjasama bersama Media Mulia serta pelbagai agensi media yang lain terutama melibatkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR)
“Kita akan sokong segala program yang dijalankan oleh pihak media seperti Kosmo!, Utusan Malaysia dan sebagainya. Kita boleh rangkakan banyak lagi program di masa hadapan melibatkan program-program menyantuni masyarakat.
“Kita sendiri akan membuat rancangan kolabrasi dengan Media Mulia berkait program CSR,” jelasnya.
Sesi kacau bubur lambuk diadakan di pekarangan Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak bermula 7.30 pagi tadi dibantu oleh ahli kariah. – KOSMO! ONLINE